Tip Blog, Blogging dan Wordpress

“Panduan Mudah Untuk Blogger”

Archive for April, 2008

KUALA LUMPUR 10 Mac – Penggunaan Internet secara meluas dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihan raya umum 2008, menandakan bermulanya era demokrasi digital di negara ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, bagaimanapun, Internet diabaikan oleh ahli politik sebaliknya ia menjadi alat penting oleh pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempengaruhi pandangan umum.

Katanya, medium itu menjadi penting akibat keruntuhan kredibiliti media cetak dan elektronik tradisional.

“Keadaan itu membuatkan kita semua menerima medium digital sebagai media alternatif sebagai saluran meluahkan pandangan.

“Ia juga penting kerana menandakan kemasukan pengundi muda yang jumlahnya begitu besar sehingga membuahkan keputusan pilihan raya yang mengejutkan ini,” katanya ketika mempengerusikan Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Mengenai Keputusan Pilihan Raya Umum 2008: Kesan dan Implikasinya Terhadap Malaysia di sini hari ini.

Musa berkata, golongan pengundi baru itu yang rata-ratanya terpelajar dan memahami konsep kebebasan demokrasi merupakan mereka yang bebas dalam pemikiran.

Katanya, daripada segi sejarah, kerajaan berjaya mengubah kaum Melayu, Cina dan India daripada terkongkong dalam tradisi masing-masing kepada golongan yang terpelajar dan terbuka.

“Mereka mula mengemukakan tuntutan-tuntutan dan berharap ia dipenuhi. Sejak 2004, mereka menjangka keadaan akan berubah.

“Mereka mahu lebih kebebasan, mereka inilah golongan yang tidak gembira, marah dan Internet menjadi saluran mereka meluahkannya,” kata beliau.

Musa berkata, pemimpin politik tidak mampu mengawal demokrasi digital yang berkembang pesat dan itulah punca masalah mereka.

“Cuba bayangkan, dalam satu kawasan pilihan raya, ada tiga blog yang pro kerajaan tetapi wujud 17 blog yang anti kerajaan,” katanya.

Menjawab soalan kemudiannya, Musa berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Internet dalam arena politik negara kerana ia memberi kebebasan bersuara.

Selain itu, katanya, beliau percaya khalayak mampu membezakan antara maklumat palsu, khabar angin dan hiburan yang disiarkan melalui Internet.

Katanya, membandingkan media arus perdana dahulu dan kini, ada perbezaan ketara daripada segi penyiaran bahan-bahan membabitkan parti pembangkang.

“Sekarang kalau kita lihat sudah ada ruang untuk pembangkang membuat kenyataan. Ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.

Sumber: Utusan.com.my

  • 0 Comments
  • Filed under: Blogging Tips
  • Khir Toyo jadi penulis blog

    SHAH ALAM 29 Mac – Setelah melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 19 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini turut terlibat dalam bidang penulisan untuk laman blognya sendiri.

    Laman blog yang dilancarkan hari ini dibuat sebagai salah satu saluran kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk menyuarakan pandangannya terhadap pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Mohamad Khir ketika dihubungi di sini hari ini berkata, laman blog yang beralamat di www.drkhir.blogspot.com itu diwujudkan supaya setiap masalah rakyat diambil kira oleh kerajaan negeri termasuk melaksanakan semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

    ‘‘Saya kini ada banyak masa berbanding sebelum ini yang saya tumpukan terhadap tugas sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

    ‘‘Oleh itu, saya gunakan masa yang ada selain memberi tumpuan kepada rakyat di Sungai Panjang, saya turut menyuarakan pandangan dan pendapat melalui laman blog supaya ia dapat dikongsi oleh semua rakyat termasuk kerajaan negeri sendiri,’’ katanya.

    Malah, katanya lagi, beliau turut mengalu-alukan sebarang komen daripada semua pihak khususnya jika ia membabitkan masalah rakyat.

    Tambah Mohamad Khir, beliau juga akan memastikan PKR melaksanakan setiap janji mereka dan tidak akan membiarkan rakyat ditipu.

    Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri pimpinan PKR mengenakan levi ke atas majikan yang menggaji pekerja asing sebagai terburu-buru dan hanya untuk meraih populariti.

    Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan negeri perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kerajaan Pusat termasuk Kementerian Kewangan untuk mengenakan levi sebanyak RM100 setahun bagi setiap pekerja asing bagi disalurkan ke Dana Khas Belia Selangor.

    Ini kerana, katanya, dasar pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat termasuklah peruntukan undang-undang, manakala tindakan mengenakan levi kepada majikan sudah pasti akan memberi implikasi kewangan kepada pekerja asing serta majikan itu sendiri.

    Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan negeri perlu mengkaji keperluan dari segi perundangan selain mengambil kira pandangan setiap majikan sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

    Sumber: Utusan.com.my

    Malaysia ada 500,000 laman blog

    KUALA LUMPUR 1 April – Sedar atau tidak, tetapi Malaysia adalah antara negara yang memiliki pengendali laman blog yang tertinggi di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.

    Malaysia dianggar memiliki hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak atas tujuan berlainan.

    Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

    Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

    “Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada forum bertajuk Masyarakat dan Media Dalam Pilihan Raya 2008 di sini hari ini.

    Forum turut disertai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaafar.

    Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Abu Hassan berkata, kerajaan mengambil pendirian tidak mempedulikan maklumat dalam blog sebelum pilihan raya tetapi pembangkang bertindak sebaliknya.

    Beliau berkata, pemimpin kerajaan kini juga boleh menggunakan blog untuk berkempen tetapi mereka perlu ingat bahawa masa sehingga 10 tahun diperlukan bagi membolehkan sesuatu blog itu mula dikenali ramai.

    Johan pula berkata, sesetengah blog begitu berpengaruh apabila menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal.

    “Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan boleh mencecah antara tiga dan empat juta,” katanya.

    Sumber: Utusan.com.my