“Panduan Mudah Untuk Blogger”
PUTRAJAYA 25 Mac – Setelah 36 tahun memegang jawatan menteri Kabinet, bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berhasrat menjadi penulis blog bagi menyampaikan pandangannya di luar kerajaan.
Keng Yaik, 69, bagaimanapun menganggap hasratnya bertukar profesion kepada penulis blog sebagai soal peribadi.
”Anda tengoklah dalam internet, kalau blog saya ada, adalah…,” katanya sambil tertawa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan tugas kepada menteri yang baru, Datuk Shaziman Abu Mansor di sini hari ini.
Keng Yaik mula berkhidmat dalam Kabinet setelah dilantik sebagai Menteri Tugas Khas berkenaan penempatan baru pada 1972.
Kemudian beliau menjadi Menteri Perusahaan Utama dari 1986 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Mac 2004.
Beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 setelah mengumumkan persaraannya dari politik sekali gus melepaskan jawatan Presiden Gerakan pada April tahun lalu, setahun lebih awal daripada jadual pengundurannya.
Keng Yaik berkata, beliau juga akan menulis sebuah buku bagi menceritakan segala pengalaman manisnya ketika berada dalam Kabinet.
”Tanya macam mana hidup sepanjang 36 tahun, kalau mahu cerita dua hari dua malam pun tidak habis. Tunggu saya keluarkan bukulah, awak baca perlahan-perlahan, tapi bila buku itu akan keluar saya pun tahu,” katanya.
Pada sidang akhbar yang sama Shaziman berkata, kerajaan tidak menyekat sesiapa pun daripada memberikan pandangan melalui laman blog kerana ia adalah salah satu medium untuk masyarakat menyampaikan maklumat dan hasrat mereka.
”Saya juga dimaklumkan menteri saya (Keng Yaik) juga akan menjadi seorang penulis blog selepas ini.
”Hanya satu kita nak buat kita akan susun tatacara bagaimana untuk menulis laman blog, selagi tidak melanggar peraturan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tidak ada salahnya,” jelasnya.
Sumber: Utusan.com.my
Leave a reply