Ramai yang bertanya, produk apa yang boleh dijual melalui atau di Internet? Salah satunya ialah dengan menggunakan blog. Sebelum anda mengatakan anda sudah tahu, sila baca dahulu artikel ini. Buat duit dengan blog bukanlah seperti yang biasa kita dengar, tapi ia lebih daripada itu.

Jika anda mempunyai blog, anda sebenarnya boleh menambah saluran pendapatan dengan pelbagai cara yang berkaitan dengan topik blog anda. Sebagai contoh di sini, saya akan berikan contoh untuk blog Tip Kesihatan yang dimiliki oleh Mohd Rozmie (JimieRay).

Di antara produk yang boleh dikeluarkan yang berkaitan dengan blog beliau ialah:

1. VCD/DVD Kesihatan - Kandungannya mungkin secara umum atau secara spesifik kepada golongan yang tertentu sahaja. Mungkin sebuah DVD kesihatan untuk seorang eksekutif yang sibuk atau mungkin sebuah DVD/VCD untuk kesihatan untuk seorang ibu yang baru lepas bersalin. Di sini, bukan hanya satu tajuk VCD sahaja yang boleh dikeluarkan, tapi banyak tajuk yang boleh dihasilkan. Satu tajuk, satu VCD. Bayangkan keuntungan yang bakal diperolehi.

Contoh Sebenar: Tahukah anda, terdapat VCD yang hanya berkaitan cara tukar tayar dan cara check dan tukar minyak hitam kereta?

2. Ebook Kesihatan - Sama keadaannya dengan produk VCD di atas, ebook yang berkaitan dengan kesihatan juga boleh dikeluarkan sama ada kandungannya secara umum atau spesifik. Salah satu cara yang mudah untuk menghasilkan ebook ialah, menggunakan tulisan sedia ada di blog. Syaratnya di sini ialah, pastikan ia artikel anda yang original (bukan hakcipta orang lain) dan tambah nilai kandungan tersebut agar lebih menarik.

Contoh Sebenar: Irfan Khairi dan Ustaz Zaharuddin menggunakan kandungan blog mereka untuk buku mereka. Bezanya, mereka tambah nilaikan kandungan itu dan menyusun ke dalam bentuk yang lebih mudah dibaca.

3. Seminar Kesihatan / Kem Kesihatan - Anjurkan seminar kesihatan. Jangan lakukan seminar yang topiknya agak hambar, sebaliknya buatlah seminar yang menyeronokkan para peserta. Mungkin salah satu sebab kegagalan (disambut hambar) kebanyakan kempen pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ialah mereka tidak menggunakan cara yang menyeronokkan di dalam seminar kempen mereka.

Selain seminar, mungkin boleh sediakan pakej kem kesihatan. Seperti sedia maklum, kesihatan bukan hanya berkaitan dengan ubat atau sakit semata-mata, malah ia adalah menyeluruh: emosi, fizikal dan mental. Sihat mental dan fizikal, maka sihat dan cergaslah badan. Kem di sini mungkin bermaksud latihan intensif kecergasan, perkemahan dan sebagainya.

4. VCD/DVD Seminar - Jangan tidak rekod seminar yang dilakukan itu kepada bentuk video. Teramat rugi jika tidak merekodnya. Jadikan ia kepada bentuk VCD atau DVD atau kepada bentuk dowloadable (download sahaja) dan jual kepada mereka yang berminat terutama yang tidak dapat menghadiri seminar tersebut. Tahukah anda, begitu ramai usahawan internet yang melakukan cara ini dan mendapat keuntungan besar.

Siapakah bakal peserta seminar anda? Sudah tentu antaranya ialah para pembaca blog anda!

5. Audio MP3 - Selain video, hasilkan juga produk audio. Terdapat beberapa cara untuk menghasilkan produk sebegini. Antaranya ialah menemubual pakar kesihatan atau menghasilkannya sendiri. Tidak semua orang suka membaca atau menonton, lagi-lagi dengan kewujudan teknologi tertentu seperti iPod, Mp3 player, CD player dan sebagainya, audio dapat didengar di mana-mana sahaja.

Cara mudah menghasilkan audio ialah dengan mengumpul semula tulisan anda di blog dan jadikan ia kepada beberapa point yang perlu sahaja. Kemudian rekod ia kepada audio (ya, suara anda!). Atau anda boleh mengupah orang lain merekodnya. Terdapat banyak servis merekod audio di Internet. Anda hanya perlu menyediakan transkrip sahaja.

6. Membership Site (Laman Keahlian) - Laman web sebegini adalah laman web tertutup khas untuk mereka yang berdaftar sahaja (dikenakan bayaran). Pada laman web ini, beberapa item diberikan seperti ebook, audio, video atau hanya sekadar maklumat tertentu sahaja. Terserah kepada anda untuk meletak apa yang perlu.

Sebagai contoh di sini, mungkin laman web tertutup berkaitan dengan kesihatan berat badan (weight loss) dan mereka diberikan akses tertutup untuk bahan seperti audio, artikel, video dan sebagainya.

7. Newsletter Bersiri - Sama keadaannya seperti Membership Site di atas yang mana ia adalah secara tertutup (perlu bayar untuk akses). Terdapat dua jenis newsletter iaitu melalui Internet atau secara bercetak. Jika melalui Internet, anda boleh gunakan autoresponder seperti Aweber atau Getresponse. Jika melalui bercetak, anda boleh cetak dalam bentuk makalah dan hantarkan ke alamat pelanggan pada setiap bulan.

Itulah beberapa jenis produk yang boleh anda hasilkan berkaitan dengan topik blog anda. Contoh di atas adalah berkaitan dengan kesihatan dan anda fikirlah apa yang sesuai untuk topik blog anda. Apapun, jenis-jenis produk seperti audio, ebook, video dan sebagainya tetap boleh diaplikasikan kepada topik blog anda.

Jelas, begitu banyaknya manfaat jika anda memiliki blog! Jangan hanya memikirkan ia hanya sekadar menulis semata-mata dan anda tidak boleh mendapatkan sebarang imbalan. Ingat, apa yang anda tulis di blog anda adalah hak milik anda dan ia boleh digunakan untuk apa sahaja keperluan anda.

Malah yang lebih hebat dan menyeronokkan, anda boleh menghasilkan banyak produk yang hanya berkaitan dengan satu topik (bidang) sahaja! Begitu juga dengan wujudnya blog saya ini sebagai contoh, saya akan dan telah menghasilkan produk yang berkaitan. Bukan satu, tapi banyak.

Blog buat duit vs Blog bisnes

Jangan hanya bergantung harap kepada blog anda semata-mata untuk mendapatkan pendapatan. Dengan menambah pelbagai jenis saluran pendapatan, anda sudah pasti akan mendapat pendapatan jauh lebih besar berbanding hanya dengan berharap pada blog semata-mata.

Seperti yang anda maklumi, blog terdapat dua jenis iaitu blog buat duit dan blog bisnes. Apa yang saya nyatakan di atas lebih kepada blog bisnes. Pemilik blog buat duit biasanya tidak akan mengeluarkan apa-apa produk kerana mereka lebih kepada program pengiklanan, review dan sebagainya.

Sebaliknya tidak untuk blog bisnes seperti blog SmartUsaha.com. Blog bisnes selain berkongsikan tulisan dengan para pembaca, ia adalah salah satu cara pemasaran produk atau perniagaan. Jadi, ia bukanlah sumber pendapatan utama. Blog bisnes ini biasanya dimiliki oleh usahawan internet dan blog buat duit dimiliki oleh seorang Blogger yang bukan seorang usahawan internet (kebanyakannya).

Mana yang lebih bagus? Semuanya terserah kepada anda. Jika mahu hanya menjadi seorang blogger, ia tidak salah. Tapi bagi saya, menjadi seorang blogger dan dalam masa yang sama menjadi seorang usahawan internet adalah lebih menarik dan menguntungkan berbanding menjadi blogger semata-mata kerana saya mempunyai saluran pendapatan yang bervariasi.

Sebab itulah jika kita lihat sekarang, ramai blogger sudah mula memikirkan (berjinak-jinak) untuk mengeluarkan produk mereka sendiri kerana industri blogging terlalu kerap turun dan naiknya. Maka mereka perlu mencari jalan pendapatan yang lain agar pendapatan mereka lebih stabil.

Terserah kepada anda. Ia adalah PILIHAN.

Semoga berjaya.

ps. Ebook Teknik Niche menerangkan kepada anda cara buat duit dengan Blog dan juga produk informasi digital. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Last 5 posts by smartzul