“Panduan Mudah Untuk Blogger”
12 Apr
KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui kesilapan besarnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah mengabaikan kempen secara siber dalam Internet yang telah digunakan sepenuhnya oleh parti- parti pembangkang.
‘‘Kita telah melakukan kesilapan serius kerana menganggapnya tidak penting dan kita ingat yang penting ialah akhbar dan televisyen.
‘‘Tetapi generasi muda membaca blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
‘‘Kita pastinya telah tewas dalam perang Internet, perang siber. Saya telah melihat keputusan pilihan raya dan wujud keperluan untuk berubah,’’ kata Abdullah semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini.
Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah mencatat prestasi terburuk dalam sejarah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Parti pembangkang, yang tidak mendapat layanan di media arus perdana, menggunakan kempen secara dalam talian menerusi blog, laman web berita dan SMS menerusi telefon bimbit.
Dalam konteks ini, Abdullah berkata, kerajaan BN bersedia untuk melakukan perubahan dan memberi maklum balas secara berkesan serta memperkasa golongan muda di negara ini.
‘‘Ia adalah sesuatu yang memedihkan, namun ia berlaku tepat pada masanya, bukan sesuatu yang sudah terlambat,’’ kata beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang tidak jumud atau terkurung dalam dogmatisme.
‘‘BN adalah kerajaan yang praktikal, yang lebih daripada bersedia untuk mendengar suara rakyat. Paling utama, ia adalah kerajaan yang bersedia untuk berubah dan menangani kebimbangan serta aduan rakyat,’’ ujar beliau.
Beliau berkata, kerajaan BN bersedia berubah dan memiliki keupayaan untuk berubah serta yakin untuk berjaya, seterusnya mencapai wawasan sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Sumber: Utusan.com.my
9 Apr
PUTRAJAYA 25 Mac – Setelah 36 tahun memegang jawatan menteri Kabinet, bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berhasrat menjadi penulis blog bagi menyampaikan pandangannya di luar kerajaan.
Keng Yaik, 69, bagaimanapun menganggap hasratnya bertukar profesion kepada penulis blog sebagai soal peribadi.
”Anda tengoklah dalam internet, kalau blog saya ada, adalah…,” katanya sambil tertawa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan tugas kepada menteri yang baru, Datuk Shaziman Abu Mansor di sini hari ini.
Keng Yaik mula berkhidmat dalam Kabinet setelah dilantik sebagai Menteri Tugas Khas berkenaan penempatan baru pada 1972.
Kemudian beliau menjadi Menteri Perusahaan Utama dari 1986 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Mac 2004.
Beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 setelah mengumumkan persaraannya dari politik sekali gus melepaskan jawatan Presiden Gerakan pada April tahun lalu, setahun lebih awal daripada jadual pengundurannya.
Keng Yaik berkata, beliau juga akan menulis sebuah buku bagi menceritakan segala pengalaman manisnya ketika berada dalam Kabinet.
”Tanya macam mana hidup sepanjang 36 tahun, kalau mahu cerita dua hari dua malam pun tidak habis. Tunggu saya keluarkan bukulah, awak baca perlahan-perlahan, tapi bila buku itu akan keluar saya pun tahu,” katanya.
Pada sidang akhbar yang sama Shaziman berkata, kerajaan tidak menyekat sesiapa pun daripada memberikan pandangan melalui laman blog kerana ia adalah salah satu medium untuk masyarakat menyampaikan maklumat dan hasrat mereka.
”Saya juga dimaklumkan menteri saya (Keng Yaik) juga akan menjadi seorang penulis blog selepas ini.
”Hanya satu kita nak buat kita akan susun tatacara bagaimana untuk menulis laman blog, selagi tidak melanggar peraturan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tidak ada salahnya,” jelasnya.
Sumber: Utusan.com.my
8 Apr
KUALA LUMPUR 10 Mac – Penggunaan Internet secara meluas dan memainkan peranan penting dalam kempen pilihan raya umum 2008, menandakan bermulanya era demokrasi digital di negara ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, bagaimanapun, Internet diabaikan oleh ahli politik sebaliknya ia menjadi alat penting oleh pengkritik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempengaruhi pandangan umum.
Katanya, medium itu menjadi penting akibat keruntuhan kredibiliti media cetak dan elektronik tradisional.
“Keadaan itu membuatkan kita semua menerima medium digital sebagai media alternatif sebagai saluran meluahkan pandangan.
“Ia juga penting kerana menandakan kemasukan pengundi muda yang jumlahnya begitu besar sehingga membuahkan keputusan pilihan raya yang mengejutkan ini,” katanya ketika mempengerusikan Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Mengenai Keputusan Pilihan Raya Umum 2008: Kesan dan Implikasinya Terhadap Malaysia di sini hari ini.
Musa berkata, golongan pengundi baru itu yang rata-ratanya terpelajar dan memahami konsep kebebasan demokrasi merupakan mereka yang bebas dalam pemikiran.
Katanya, daripada segi sejarah, kerajaan berjaya mengubah kaum Melayu, Cina dan India daripada terkongkong dalam tradisi masing-masing kepada golongan yang terpelajar dan terbuka.
“Mereka mula mengemukakan tuntutan-tuntutan dan berharap ia dipenuhi. Sejak 2004, mereka menjangka keadaan akan berubah.
“Mereka mahu lebih kebebasan, mereka inilah golongan yang tidak gembira, marah dan Internet menjadi saluran mereka meluahkannya,” kata beliau.
Musa berkata, pemimpin politik tidak mampu mengawal demokrasi digital yang berkembang pesat dan itulah punca masalah mereka.
“Cuba bayangkan, dalam satu kawasan pilihan raya, ada tiga blog yang pro kerajaan tetapi wujud 17 blog yang anti kerajaan,” katanya.
Menjawab soalan kemudiannya, Musa berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Internet dalam arena politik negara kerana ia memberi kebebasan bersuara.
Selain itu, katanya, beliau percaya khalayak mampu membezakan antara maklumat palsu, khabar angin dan hiburan yang disiarkan melalui Internet.
Katanya, membandingkan media arus perdana dahulu dan kini, ada perbezaan ketara daripada segi penyiaran bahan-bahan membabitkan parti pembangkang.
“Sekarang kalau kita lihat sudah ada ruang untuk pembangkang membuat kenyataan. Ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.
Sumber: Utusan.com.my
27 Feb
Adakah blog anda terlalu atau sedikit perlahan untuk diakses? Jika ya, cuba lakukan cara berikut:
1. Pilih pihak penyedia Hosting yang menggunakan server yang berprestasi tinggi. Dalam maksud yang lain, server yang laju.
2. Elakkan menggunakan imej atau sesuatu aplikasi yang perlu mengakses dari server lain pada blog anda.
3. Jangan menggunakan banyak plugin yang tidak diperlukan. Guna yang diperlukan sahaja. Anda perlu tahu, kebanyakan plugin akan menggunakan database atau memori server untuk melakukan sesuatu fungsi. Ini sedikit sebanyak membuatkan blog menjadi perlahan.
4. Elakkan penggunaan banyak imej. Jika perlu menggunakan imej yang banyak, kecilkan (optimize) saiz imej tersebut kepada yang lebih kecil.
5. Kurangkan menghubungkan blog dengan banyak sistem dari luar. Contohnya anda meletakkan satu kod di blog untuk satu aplikasi sesebuah website aplikasi tertentu. Sebagai contoh, anda letak kod program iklan. Jika anda meletak kod sebegini, apa yang terjadi ialah blog anda akan mengakses sistem luar tersebut dahulu sebelum memaparkan keseluruhan blog.
Banyak lagi faktor penyebab blog menjadi perlahan dan banyak juga tip untuk mengurangkan masalah ini.
Semoga bermanfaat.
SideRSS Error: Something bad happened! Try again later.