“Panduan Mudah Untuk Blogger”
Saya ada tulis satu tip mudah mengenai cara mendapatkan trafik ke blog anda.
Sila klik link di bawah untuk membaca artikel tersebut:
Ramai yang mahu buat duit dengan blog, tetapi tak tahu caranya.
Artikel Buat Duit Dengan Blog baru-baru ini menyenaraikan beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk menghasilkan pendapatan. Banyak cara untuk buat duit dengan blog, tetapi sebagai permulaan, pilihlah satu cara dulu.
Untuk kali ini, saya ingin berikan satu idea kepada anda bagaimana cara buat duit dengan blog melalui cara yang amat mudah. Caranya ialah dengan cara mengulas (review) produk-produk yang berkaitan. Berikut adalah langkah demi langkah secara ringkas:
Langkah 1: Senaraikan apakah minat atau pengetahuan anda. Main games? Kesihatan? Peminat pakaian berjenama? Seorang yang tahu banyak mengenai perisian? Kenal pasti dahulu sebelum meneruskan langkah kedua.
Langkah 2: Pilih satu sahaja topik yang paling anda tahu dan minat. Ingat, satu topik sahaja. Memilih topik yang paling anda tahu dan minat adalah amat penting agar anda dapat menulis dan menulisdi blog tanpa rasa bosan.
Langkah 3: Bina blog dot com anda sendiri yang berkaitan dengan topik tersebut. Saya galakkan anda menggunakan blog dot com sebab anda akan berurusan dengan pihak yang mempunyai reputasi dan kredibiliti selepas ini. Untuk bina blog dot com, kos adalah RM100 ke bawah sahaja untuk nama domain dan Hosting.
Langkah 4: Tulis beberapa artikel dan usahakan untuk dapat trafik (pelawat) yang konsisten ke blog anda. Lakukan langkah ini dalam satu tempoh masa sekurang-kurangnya 2 minggu. Pada tempoh ini, ada dua perkara yang perlu anda tekankan iaitu jumlah artikel yang anda terbitkan (publish) di blog dan juga jumlah pelawat yang datang ke blog anda.
Selain itu, pastikan juga blog anda mempunyai keunikan tersendiri (design, imej, nama..) dan navigasinya mesti berfungsi.
Jangan lakukan langkah 5 seterusnya ini sebelum anda mempunyai kriteria penting seperti di atas.
Langkah 5: Setelah blog anda mempunyai beberapa artikel dan mempunyai pelawat yang konsisten, lakukan langkah ini pula. Lakukan kajian di Internet, di majalah atau akhbar mengenai syarikat-syarikat atau pengusaha produk yang berkaitan dengan topik pilihan anda. Sebagai contoh, topik blog anda ialah perisian. Jadi, senaraikan pihak yang menjual atau mengeluarkan produk perisian.
Langkah 6: Hubungi pihak yang anda senaraikan itu dan nyatakan kepada mereka bahawa anda mempunyai sebuah blog mengenai perisian. Yakinkan kepada mereka bahawa anda mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai perisian. Kemudian nyatakan yang anda ada menyediakan khidmat review produk di blog tersebut. Jangan lupa lampirkan bersama kadar caj untuk khidmat review anda tersebut. Sediakan tawaran yang menarik untuk mereka.
Berapakah kadar bayaran? Terserah kepada anda. Tetapi buat permulaan, lagi-lagi blog anda masih baru, kenakan caj dengan kadar yang murah sahaja (harga pengenalan). Tujuannya agar tawaran anda diterima oleh mereka. Setelah blog anda sudah ‘maju’ dan ‘terkenal’ kelak, barulah anda boleh mengenakan kadar bayaran yang tinggi.
Langkah Konsisten: Ini adalah wajib. Pastikan blog anda sentiasa dijaga mutunya terutama dari segi kemaskini artikel. Dan dari semasa ke semasa, usahalah untuk promosikan blog anda agar jumlah trafik ke blog terus meningkat. Semakin tinggi trafik, maka semakin tinggilah kadar caj yang boleh anda kenakan.
Kesimpulan
Inilah salah satu cara bagaimana menghasilkan pendapatan sama ada secara sampingan atau sepenuh masa. Katakan satu review berharga RM100.00, maka jika lima buah review, jumlah pendapatan anda ialah sebanyak RM500.00. Bagaimana pula dengan 10 buah review? Lumayan bukan? Malah, anda juga akan mendapat produk secara percuma daripada usahawan atau syarikat tersebut!
Kerja-kerja review walau mengambil sedikit masa dan usaha, namun hasilnya amat berbaloi. Anda melakukannya bukan secara percuma, tetapi anda dibayar. Malah anda buat apa yang anda minat.
Sekarang sudah tiba masanya anda menggunakan ilmu yang anda ada untuk buat duit dengan blog!
p/s: Pakej Kit Blogger akan merungkai persoalan anda mengenai blog dan cara membina blog dot com. Panduan ini adalah yang terbaik di dalam Bahasa Melayu. Klik di sini untuk maklumat lanjut.
KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui kesilapan besarnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ialah mengabaikan kempen secara siber dalam Internet yang telah digunakan sepenuhnya oleh parti- parti pembangkang.
‘‘Kita telah melakukan kesilapan serius kerana menganggapnya tidak penting dan kita ingat yang penting ialah akhbar dan televisyen.
‘‘Tetapi generasi muda membaca blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
‘‘Kita pastinya telah tewas dalam perang Internet, perang siber. Saya telah melihat keputusan pilihan raya dan wujud keperluan untuk berubah,’’ kata Abdullah semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini.
Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah mencatat prestasi terburuk dalam sejarah pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, dengan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Parti pembangkang, yang tidak mendapat layanan di media arus perdana, menggunakan kempen secara dalam talian menerusi blog, laman web berita dan SMS menerusi telefon bimbit.
Dalam konteks ini, Abdullah berkata, kerajaan BN bersedia untuk melakukan perubahan dan memberi maklum balas secara berkesan serta memperkasa golongan muda di negara ini.
‘‘Ia adalah sesuatu yang memedihkan, namun ia berlaku tepat pada masanya, bukan sesuatu yang sudah terlambat,’’ kata beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang tidak jumud atau terkurung dalam dogmatisme.
‘‘BN adalah kerajaan yang praktikal, yang lebih daripada bersedia untuk mendengar suara rakyat. Paling utama, ia adalah kerajaan yang bersedia untuk berubah dan menangani kebimbangan serta aduan rakyat,’’ ujar beliau.
Beliau berkata, kerajaan BN bersedia berubah dan memiliki keupayaan untuk berubah serta yakin untuk berjaya, seterusnya mencapai wawasan sebuah negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Sumber: Utusan.com.my
ISTILAH globalisasi merujuk kepada fenomena yang menjadikan dunia kelihatan seperti mengecil dari segi perhubungan manusia kerana kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Dewasa ini, Internet merupakan alat globalisasi yang tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam menyebarkan maklumat.
Blog pula ialah salah satu media alternatif yang menggunakan jaringan Internet dan semakin popular digunakan, khasnya oleh golongan muda kerana masa dan ruangannya yang tidak terhad seperti media-media lain.
Baru-baru ini, iaitu pada 11 Mac 2008, satu diskusi berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’ telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam diskusi tersebut, panelis-panelis telah mendedahkan bahawa sehingga Februari lalu, terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.
Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa blog merupakan medium yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat bagi menyalurkan maklumat antaranya agama, pendidikan, undang-undang, politik dan bisnes.
Malah ia turut menyuarakan pandangan mereka menerusi catatan-catatan atau diari dalam talian, keluh-kesah, artikel dan komen berkenaan pelbagai perkara, lazimnya dalam isu melibatkan masyarakat dan pemerintahan negara.
Sehubungan itu, hasrat Menteri Penerangan yang baru, iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek, untuk mendekati para penulis blog adalah sangat wajar dan harus dipuji.
Beliau berpendapat bahawa pandangan penulis blog tidak boleh diketepikan, dan menyatakan keinginannya untuk membuat pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas sebagai usaha membantu pembangunan negara.
Ini adalah kerana, pandangan-pandangan yang dimuatkan ke dalam blog lazimnya merupakan ‘suara hati’ yang sebenarnya kerana tidak melalui sebarang ‘penapisan’. Jadi, ketulenan pandangan tersebut adalah lebih tinggi dan perlu diambil kira dalam menilai hasrat dan keinginan masyarakat terhadap negara khususnya.
Kesimpulannya, blog merupakan medium yang tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ seperti pada awal penggunaan Internet di negara kita.
Masyarakat hari ini semakin peka dan bijak menggunakan teknologi dalam menyalurkan sebarang idea, pandangan dan ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara.
Justeru, usaha yang ingin dilakukan oleh beliau bagi mendekati penulis blog adalah wajar disokong.
– Mohd Faisal Mustaffa,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
Sumber: Utusan.com.my